Orang ramai mengambil peluang daftar skim air percuma di kaunter penerangan Air Selangor menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 4 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Orang ramai ambil peluang daftar skim air percuma negeri di program jualan murah

GOMBAK, 4 OKT: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua ambil peluang mendaftar Skim Air Darul Ehsan (SADE) di kaunter Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang dibuka dalam program jualan murah dekat padang awam Batu Caves, hari ini.

Pengurus Pusat Khidmat DUN Maimon Misman berkata mereka dibantu kakitangan syarikat bekalan air itu membuat pendaftaran dan menerangkan lebih lanjut mengenai skim air percuma disediakan Kerajaan Negeri.

“Biasanya setiap program jualan murah di DUN Sungai Tua ramai pengunjung akan hadir, jadi Air Selangor buka kaunter bagi tujuan pendaftaran.

“Lebih 60 pengunjung mendaftar selain ramai yang sudah mendapatkan borang untuk tujuan permohonan, mereka teruja selepas mengetahui manfaat skim ini melalui penerangan diberikan pegawai Air Selangor,” katanya ketika ditemui.

Menurut Maimon penganjuran jualan murah hari ini turut disertai Selangor Fruit Valley (SFV) yang menawarkan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan berkualiti buat pengunjung.

“Saya juga mempelawa agensi Kerajaan Negeri yang lain untuk membuka kaunter pada program jualan murah akan datang agar lebih banyak maklumat mengenai inisiatif disediakan terus sampai kepada rakyat,” katanya.

 


Pengarang :