SERDANG, 5 OKT: Dato’ Menteri Besar mengajak mahasiswa negeri ini agar sentiasa berfikiran positif dan menampilkan contoh kepimpinan yang baik kepada masyarakat.
Dato’ Seri Amirudin Shari juga mahu mahasiswa sedia dan berani mengadaptasi perubahan serta cabaran baharu yang menjadi elemen penting untuk kepimpinan masa depan.
“(Mahasiswa) harus buktikan keupayaan dan kemampuan mereka selain menampilkan citra atau contoh kepimpinan kepada masyarakat. Ini peluang yang wajar direbut.
“Sekiranya elemen ini dapat ditonjolkan, saya percaya ia menjadi medan terbaik untuk kepimpinan masa depan,” katanya pada majlis bersama pemimpin di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.
Bercakap di hadapan kira-kira 3,500 penuntut baharu sesi 2023/2024, beliau berkata peluang melanjutkan pengajian di universiti harus dimanfaatkan mahasiswa sebaik mungkin dengan melakar kecemerlangan berterusan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/MB14-1-500x315.jpg.webp)
“Biarlah kejayaan anda capai semua A, jadi pelajar terbaik dan pelajar contoh semasa zaman sekolah serta matrikulasi dijadikan kenangan. Anggaplah ia sudah berlalu kerana sekarang masuk ke buku baru serta cabaran baru,” katanya.
Sementara itu, naib canselor UPM berkata majlis diadakan sempena Minggu Perkasa Putra memberi pendedahan dan menyemarak inspirasi kepada mahasiswa melalui perkongsian kepimpinan serta pengalaman Amirudin sebagai pemimpin juga alumni universiti terbabit.
“Beliau (Amirudin) mempunyai kejayaannya tersendiri dan pencapaian ini jelas membuktikan UPM sentiasa melahirkan graduan yang mempunyai sosok cemerlang.
“Saya berharap dengan kehadiran beliau dapat dijadikan pemangkin kepada pelajar baharu UPM untuk lebih tampil berwibawa dan cemerlang,” kata Dato’ Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.