Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Kemandul Utama, Jenjarom, Kuala Langat pada 22 Ogos 2023. Foto X Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Projek turap jalan siap 90 peratus, selesai hujung Oktober

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerja turapan jalan secara besar-besaran di sembilan daerah hampir siap, mencecah 90 peratus setakat ini, maklum Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Dijangka selesai sepenuhnya hujung bulan ini, ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya berkata projek berjarak 94.9 kilometer sedikit lewat berikutan faktor cuaca tidak menentu.

“Mengikut rancangan, kerja turapan selesai pada 15 Oktober tetapi masih ada yang tidak lengkap sehingga berlaku kelewatan atas beberapa faktor termasuk cuaca.

“Jalan yang selesai diturap semula antaranya Jalan Sungai Puloh, Kapar. Ini adalah langkah penting untuk meningkatkan kualiti jalan raya di kawasan ini,” kata Suhaimi Khalidi ketika dihubungi.

Projek Turapan Mega yang diselenggara Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Dato’ Menteri Besar berkata projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta bagi memastikan jalan raya negeri ini dalam keadaan baik untuk keselamatan pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pemilihan jalan untuk dibaik pulih berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang mereka laporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel.


Pengarang :