Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu pengundi untuk mengundi bagi Parlimen P218 Sibuti di SJK (C) Chung Hua Sibuti, Sarawak pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Corak undi Melayu PRN bakal pengaruhi Pelangai?

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Dalam siri pilihan raya umum (PRU), antara 2008 hingga 2018, Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai rakan sekutu daripada parti Melayu tetapi pilihan raya 2022 tiada lagi sokongan seperti ini.

Susulan keputusan 19 November lalu, datang pula kerjasama baharu HARAPAN dengan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya di enam negeri (PRN) termasuk Selangor yang menyaksikan arah aliran pengundian berbeza.

Apakah kesan trend pengundian PRN ini akan mempengaruhi 72 peratus Melayu pada pilihan raya kecil Pelangai 7 Oktober ini?

Corak seumpama ini dapat dilihat pada PRK parlimen Pulai dan kerusi negeri Simpang Jeram pada 9 September. Yakni, calon HARAPAN menang di dua kerusi tersebut yang mempunyai pengundi Melayu bawah 65 peratus.

Pulai dan Simpang Jeram masing-masing mempunyai 44.2 dan 51.8 peratus pengundi Melayu. Bagaimanapun Pelangai, kubu kuat BN, mempunyai 74.2 peratus pemilih etnik tersebut.

Apakah keputusan di kerusi ini, dahulunya disandang bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob, akan menimbulkan kejutan?

Badan penyelidik bebas Ilham Centre mencapai satu rumusan bagaimana persaingan besar antara HARAPAN-BN, yang membentuk Kerajaan Perpaduan kecuali di empat negeri, dengan seteru utamanya Perikatan Nasional (PN).

Hasil keputusan PRN pada 12 Ogos, Ketua Penyelidiknya Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpandangan HARAPAN-BN berpotensi menang di kerusi yang mempunyai pengundi Melayu kurang daripada 65 peratus. PN pula lebih berpeluang menang di kerusi berpengundi Melayu 65 peratus dan ke atas.

Ketua Penyelidik Ilham Centre Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Dalam wacana pasca-PRN, saya tekankan tentang ‘hukum 65 peratus’, hukum logik untuk membina hipotesis awal pilihan raya mutakhir ini kerana pola pengundian sangat banyak dipengaruhi oleh pemboleh ubah etnik,” katanya di Facebook hujung Ogos.

Bagaimanapun beberapa kerusi di enam negeri tersebut masih ada kekecualian. Antaranya, Ijok dan Bukit Melawati di Selangor, Sungai Bakap dan Bertam (Pulau Pinang) dan Lunas serta Kulim (Kedah).

Atas faktor trend pengundian inilah, PN gagal merampas Selangor yang dikuasai HARAPAN sejak 15 tahun lalu.

Dalam satu wawancara ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu itu ketika PRN sedang berlangsung, beliau tidak menjangka PN boleh merampas tiga negeri yang sudah dikuasai HARAPAN termasuk Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Sejauh mana kemampuan PN merampas Selangor dan Negeri Sembilan bergantung kepada sebanyak mana mereka mampu meraih sokongan Melayu. Contohnya Selangor, hanya sekitar 54 peratus pengundi Melayu, selebihnya bukan Melayu khususnya Cina dan India.

“Pada masa sama, ada sekitar 30 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus. Dengan jangkaan mendapat undi sangat minimum daripada bukan Melayu, PN perlu mendapat sekurang-kurangnya 75 peratus undi Melayu untuk merampas Selangor.

“Jika tidak mencapai undi Melayu setinggi itu, PN belum berpeluang merampas Selangor,” kata Dr Mohd Yusri kepada Berita Harian pada 6 Ogos.

BN hilang sokongan

Dalam pembentangan analisa PRN enam negeri di Universiti Malaya pada 25 Ogos, beliau menunjukkan 81.1 peratus kerusi dimenangi HARAPAN di kerusi kurang 65 peratus Melayu.

PN hanya berjaya menguasai 19.8 peratus kerusi dengan komposisi pengundi seumpama itu tetapi menang 80.2 peratus di kerusi yang Melayunya lebih 65 peratus (lihat jadual 1).

Pada PRU 2022, di Selangor sahaja, PN berjaya menguasai undi di 14 kerusi, HARAPAN dan BN pula masing-masing meraih sokongan di 40 dan dua kerusi. Seperti 2018, PRU tahun lalu masih lagi persaingan tiga penjuru. Pengundi BN masih bersama calon mereka.

Namun apabila wujud kerjasama baharu HARAPAN-BN dalam persaingan dua penjuru di PRN enam negeri, trend itu tidak selalunya menguntungkan calon Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berpandangan corak pengundian penyokong Umno yang sudah mula memihak kepada PN pada 2022 semakin memihak kepada gabungan PAS dan Bersatu pada PRN.

Daripada 10 pengundi BN yang ditemu bual sebelum hari mengundi, kira-kira 60 peratus bercadang menyokong PN atau tidak keluar mengundi walaupun calonnya daripada parti tersebut.

Jika calonnya HARAPAN, tambahnya, 70 peratus pengundi BN mahu menyokong PN atau tidak keluar mengundi atas beberapa sebab. Hanya 30 peratus bersedia menyokong HARAPAN. (lihat jadual 2)

“Bagi pengundi HARAPAN, mereka boleh terima (calon BN) untuk memastikan PN tidak menang. Mereka menyatakan secara terbuka sebab takut calon PN menang,” kata ketika membentang dapatan di Universiti Malaya.

Hisommudin menyenarai sejumlah faktor termasuk masalah dalaman Umno, sikap terhadap DAP dan juga kesan positif kepada PAS sewaktu Muafakat Nasional, kerjasama rasmi dua parti Melayu itu sejak September 2019 tetapi terbengkalai menjelang PRU 2022.

Di kerusi Melayu, BN hilang sokongan daripada anak muda, peneroka Felda, penduduk kampung tradisi, penjawat awam dan pengundi tegar parti itu sendiri.

“Pengundi muda Melayu termasuk anak ahli Umno menyokong PN. Majoriti besar PN disumbang daripada segmen (pengundi) ini,” simpulnya dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri 2023.

“Anak muda Melayu masih belum celik politik dan demokrasi. Lebih dipengaruhi oleh trend di media sosial dan pengaruh rakan sebaya.”

Buat pertama kali sejak PRN Johor pada Mac 2022, pemilih seawal 18 hingga 20 tahun dapat menentukan wakil rakyat.


Pengarang :