AGENDAJENAYAH

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau ketika keluar menyumpit

GUA MUSANG, 5 OKT: Lelaki Orang Asli ditemukan meninggal dunia dengan kaki kirinya hilang disyaki dibaham harimau selain kesan cakaran haiwan itu pada kepala dan badannya, di kawasan hutan Pos Pasik di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 25 tahun itu dan operasi membawa keluar mayat dimulakan pagi ini.

“Mayat dijumpai oleh penduduk semalam. Pihak polis sudah pergi ke lokasi untuk membawa keluar mayat dan dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya.

“Tempoh diambil untuk sampai ke kampung itu kira-kira dua hingga tiga jam dan bergantung keadaan cuaca,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Mohd Sani Nahtiman berkata mangsa, Pisie Amud, dari suku kaum Temiar, dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Sugi setelah keluar menyumpit Selasa lalu.

Beliau berkata penduduk keluar mencari mangsa setelah menyedari kehilangannya dan menemukan motosikal, peralatan menyumpit serta kesan tapak kaki harimau di beberapa lokasi berlainan di atas bukit Kampung Perwer berdekatan dengan kawasan ladang kelapa sawit.

“Kira-kira 6 petang semalam, saya bersama 10 penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan berkaitan penemuan terbabit.

“Berpandukan kesan tapak kaki yang dipercayai harimau itu, saya dan tiga penduduk berjalan sejauh 500 meter mengikut jejak yang ditinggalkan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya ditemui di Kampung Perwer di sini hari ini.

Mohd Sani berkata 20 individu berkawal secara bergilir-gilir di sekitar kawasan mayat bermula 9 malam tadi sementara menunggu ketibaan polis.

“Kira-kira 4 pagi tadi, harimau belang itu datang kembali mungkin untuk mengambil mayat mangsa tetapi penduduk yang berkumpul bertindak membuat bising dan memasang mercun untuk menghalau haiwan itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :