Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Daiso Malaysia Group Sdn Bhd dengan Kajima Malaysia dan Sunway Construction di Hotel Courtyard By Marriot, Shah Alam pada 5 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Daiso pilih Selangor bina hab terbesar, mampu pacu ekonomi negeri

SHAH ALAM, 5 OKT: Syarikat pembekal barangan rumah Jepun, Daiso memilih Selangor sebagai lokasi pembinaan hab pengedaran terbesar mereka sekali gus mampu memacu ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata pembinaan pusat berkeluasan 156,927 meter persegi di Pelabuhan Klang membuktikan kepercayaan dan keyakinan pelabur kepada pentadbiran negeri.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, proses pembinaan selama dua tahun bermula 2024 turut memberi kesan positif kepada sektor pembuatan dan logistik seterusnya melonjak unjuran ekonomi negeri.

“Hab ini akan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan global Daiso kerana kedudukan di Selangor mampu memenuhi permintaan di Asia, Amerika, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.

“Pusat ini bakal beroperasi menjelang 2027. Kita gembira dan tahniah kepada syarikt tempatan yang membantu dan menyediakan kemudahan untuk syarikat terkemuka ini membangunkan hub terbesar ini,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Daiso Malaysia bersama Kajima (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunway Construction Sdn Bhd bagi pembinaan hab pengedaran terbabit.

Amirudin berkata menerusi pembinaan hab berkenaan, ia turut memberi peluang kepada syarikat tempatan memasarkan produk mereka seluruh dunia.

“Ini akan menggerakkan kitaran ekonomi. Tadi kita ada bincang untuk beri peluang kepada syarikat tempatan yang berpotensi masukkan produk ke Daiso.

“Bagaimanapun kita perlu memilih syarikat yang berkualiti dan kemampuan mereka. Ini peluang besar keran Daiso miliki 5,000 cawangan dari Amerika Selatan hingga Asia,” katanya.


Pengarang :