Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Eddrus Iskandar Abd Hamid, 35, menunjukkan padi yang dituai dengan kaedah penanaman padi di dalam tong cat dan pasu di halaman rumahnya di Kampung Kandang Hilir pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Tanam padi dalam pasu bantu tampung kegunaan harian

Oleh Ziera Adurah Najwa Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Menanam padi secara kecil-kecilan di dalam pasu atau di kawasan rumah adalah antara inisiatif yang boleh dilakukan dalam menghasilkan beras tempatan bagi menampung kegunaan harian.

Itu antara usaha yang dilakukan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Eddrus Iskandar Abdul Hamid, 36, yang mula berkecimpung dalam penanaman padi di rumahnya di Kuala Kangsar, Perak pada hujung tahun lalu setelah melihat ibu saudaranya berjaya menghasilkan tanaman padi di dalam pasu.

Beliau berkata ketika kali pertama mencuba menanam padi sendiri, beliau menggunakan lima pasu terpakai dengan empat biji benih ditanam di dalam setiap pasu dan berjaya menghasilkan hampir satu kilogram beras.

“Kali kedua saya tanam, saya gunakan lapan pasu dengan pecahan lima biji benih setiap pasu dan hasil berasnya lebih sekilogram. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga lebih tiga orang, saya cadangkan untuk cuba tanam dalam 15 hingga 20 pasu, kemungkinan hasil padi mencecah 10 hingga 12 kilogram,” katanya.

Menurut Eddrus Iskandar, kebiasaannya padi mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk matang dan sesuai diproses menjadi beras, bergantung kepada cara penjagaan, taburan baja serta cuaca.

Katanya, hasil padi yang sudah cukup matang akan dituai sebelum dibanting dengan lesung kayu untuk mengasingkan padi dari tangkai.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melalui platform media sosial pelbagai teknik dan petua berkaitan penanaman padi kecil-kecilan di kawasan rumah.

“Sejak timbul isu beras, memang ramai di Facebook minta saya muat naik video cara penanaman padi di dalam pasu. Sebelum ini, saya ada berkongsi teknik asas penanaman padi menerusi video YouTube Kuala Kangsar TV.

“Objektif saya berkongsi teknik penanaman padi dalam pasu adalah untuk membuka minda dan minat masyarakat agar terlibat dalam aktiviti penanaman padi yang boleh menjadi ilmu dan keperluan pada masa akan datang.

“Jika ramai menanam padi, bukan sahaja boleh digunakan untuk menampung keperluan sendiri, malah juga boleh menjadi sumber pendapatan dengan menjual lebihan hasil padi itu kepada pihak lain dan secara langsung dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai digalakkan menggunakan teknologi moden untuk melibatkan diri dalam penanaman padi secara kecil-kecilan.

“Teknologi kini membolehkan perumahan bertingkat untuk bercucuk tanam di ruang yang terhad. Jadi, lebih ramai rakyat boleh cuba menanam padi untuk mengurangkan beban kos sara hidup keluarga sendiri,” katanya.

Nur Asyikin turut menyifatkan inisiatif itu sebagai usaha efektif untuk memberi tekanan kepada peniaga supaya menjual beras pada harga lebih mampu milik.

– BERNAMA


Pengarang :