Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Lembaga Zakat Selangor Zainudin Johari (tengah) menyerahkan cek cura sumbangan baik pulih kepada wakil Masjid al-Makmur di Felda Gedangsa, Hulu Selangor baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM125,540 bantu institusi agama, baik pulih rumah warga Felda Gedangsa

SHAH ALAM, 6 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM125,540 bagi menampung kos pembinaan dan baik pulih institusi agama termasuk rumah penduduk di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Agensi memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Masjid al-Makmur dan Surau Kampung Bahagia Felda Gedangsa (RM29,540) bagi menampung kerja membaik pulih.

“Sumbangan disampaikan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah, Zainudin Johari bagi memastikan keselesaan dan kemudahan umat Islam di Felda Gedangsa beribadah,” katanya di Facebook.

Selain itu, LZS turut menyerahkan dua bantuan baik pulih rumah kepada Mahani Ahmad dan Mohd Razi Melia dengan masing-masing menerima RM43,000.

Agensi itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Terima kasih kepada semua pengeluar zakat di LZS,” katanya.

Dato’ Menteri Besar sebelum ini memaklumkan sepanjang tahun lalu seramai 19,103 keluarga asnaf  menerima bantuan daripada LZS membabitkan perbelanjaan sebanyak RM116.5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disalurkan meliputi sewa rumah, baik pulih rumah dan pembinaan rumah baru.


Pengarang :