Deretan bendera pelbagai parti yang bertanding bagi Parlimen Gombak menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menghiasi Jalan Gombak Lama ketika tinjauan pada 9 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kajian: BN kuasai Felda di Pelangai, pengundi muda cenderung undi PN

SHAH ALAM, 6 OKT: Barisan Nasional (BN) menguasi tiga kawasan utama Felda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sekali gus mampu mempertahan kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN berkenaan esok.

Menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pengundi Felda Sungai Kemasul, Felda Chemomoi dan Felda Sungai Kemahal berumur 50 masih tegar kepada BN manakala Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan untuk pengundi muda.

“Pertembungan tiga Felda, majoriti Melayu ini dilihat sengit melibatkan pertembungan PN dan BN. PN mempunyai kelebihan untuk pengundi berumur 40 tahun ke bawah.

“Pengundi di atas 50 tahun masih tegar kepada BN. Namun dalam Pilihan Raya Uumum ke-15 yang lepas walaupun sengit, BN, menang semua kawasan Felda berkenaan dengan penguasaan lebih 54 peratus undi,” kata IDE dalam kenyataan.

Selain kawasan Felda, kajian institut itu juga menunjukkan BN mempunyai kelebihan di sekurang-kurangnya empat daerah mengundi iaitu Machis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak.

“Bagi kawasan daerah mengundi Kampung Jawi-Jawi dan Simpang Pelangai, BN masih mendahului undi asas melebihi 51 peratus hingga 71.6 peratus undi,” menurut kajian itu.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.


Pengarang :