EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bergambar bersama peserta pada Sambutan Hari Cerebral Palsy Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum di The Barn, Tamarind Square Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri hulur dana, sokong usaha NGO jaga kebajikan penghidap cerebral palsy

SEPANG, 7 OKT: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM5,000 kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (Gaps) bagi menjayakan sambutan Hari Cerebral Palsy Sedunia.

EXCO kebajikan masyarakat berkata sumbangan menerusi Dana Sukarelawan Kebajikan bagi menyokong usaha badan itu memelihara kesejahteraan dan kebajikan penghidap cerebral palsy.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap sempena Sambutan Hari Cerebral Palsy (CP) Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) di The Barn, Tamarind Square Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dana RM5,000 disalurkan untuk program hari ini kerana Kerajaan Negeri mengambil kira usaha Gaps sebagai badan bukan kerajaan dalam menjaga keselamatan dan kebajikan kanak-kanak cerebral palsy,” kata Anfaal Saari ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan di Tamarind Square di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan orang kurang upaya (OKU) antaranya menerusi skim Anak Istimewa Selangor bagi meningkatkan keupayaan golongan tersebut menerusi pelbagai program.

“Skim ini memayungi spektrum yang agak luas bagi bantuan kepada anak-anak OKU dari sudut pembelajaran seperti golongan autisme dan lambat pertuturan (delay speech),” katanya.

Pelbagai acara menarik dijalankan sempena Sambutan Hari Cerebral Palsy Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum di The Barn, Tamarind Square Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, sambutan Hari Cerebral Palsy di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 300 pengunjung dalam kalangan ibu bapa bersama anak penghidap cerebral palsy dari seluruh negara.

Bermula 10 pagi, pelbagai aktiviti menarik dijalankan antaranya termasuklah pertandingan pemakaian kostum, permainan boling, pameran lukisan dan pemeriksaan gigi secara percuma.


Pengarang :