Pengurus Pemasaran Jasmin7, Sofihani Farhana Jaafar bersama produknya ketika Ekspo Usahawan Selangor 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peniaga teruja sertai ekspo usahawan, peluang terbaik perkenal produk

SHAH ALAM, 7 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuka peluang kepada usahawan untuk memperkenalkan produk masing-masing.

Pengurus Pemasaran Jasmin7, Sofihani Farhana Jaafar mengakui masih ramai belum mengetahui rangkaian produk pembersihan jenama itu walaupun selepas 10 tahun berada dipasarkan.

Pengurus Pemasaran Jasmin7 Sofihani Farhana Jaafar

“Kami memulakan perniagaan dengan mengeluarkan produk cecair pencuci pakaian pada 2013. Tetapi masih ramai yang tidak tahu rangkaian produk kami yang lain.

“Jadi, kami ambil peluang sertai SELBIZ 2023 bagi mengetengahkan produk kami selain mahu cuba menguatkan jualan secara konvensional pula,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sehingga kini, jenama Jasmin7 mempunyai hampir 100 rangkaian produk terdiri daripada cecair pencuci pakaian, pelembut, pewangi, haruman seterika pakaian dan cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Digital Sri Talamaz – The Kueh Factory mahu terus memartabatkan kuih dan makanan tradisi antara faktor perusahaan itu menyertai SELBIZ.

Amirul Izzat Merican Mohamed Nordin Merican berkata syarikat itu menjual kuih secara sejuk beku ke seluruh semenanjung selain menjadi pembekal dan penyedia makanan kepada sektor perhotelan, hospital dan swasta.

Eksekutif Pemasaran Digital Sri Talamaz – The Kueh Factor Amirul Izzat Merican Mohamed Nordin Merican bersama produknya ketika Ekspo Usahawan Selangor 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami sudah 23 tahun berada di pasaran. Setakat ini sambutan yang diterima amat baik kerana makanan tradisi kita ini tidak lapuk dek hujan dan sentiasa ada permintaan,” katanya.

Sri Talamaz – The Kueh Factory yang beroperasi di Bandar Sri Damansara berhasrat melebarkan sayap ke utara dan selatan semenanjung bagi memenuhi permintaan pelanggan di wilayah tersebut.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, SELBIZ 2023 menghimpunkan 200 reruai dengan sasaran potensi nilai jualan lebih RM1 juta dalam penganjuran keduanya tahun ini.

Ekspo usahawan yang bermula semalam hingga esok itu menampilkan pelbagai program seperti jualan fiesta kopi, cabutan bertuah, larian santai dan ceramah keusahawanan.


Pengarang :