Atlet karate negara Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik ketika aksi final acara Kumite (tempur) bawah 84kg lelaki, menentang Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan di Gimnasium Pusat Sukan Linping pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Sukan Asia: Atlet karate sumbang emas keenam negara

Daripada R. Vikneswaran

HANGZHOU, 7 OKT: Skuad karate negara meraih pingat emas pertama pada Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas edisi 2014 menerusi atlet lelaki Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dalam acara Kumite (tempur) bawah 84 kilogram (kg), di sini, hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu mempamerkan aksi yang tangkas dan berani untuk menewaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan, 10-4, pada final di Gimnasium Pusat Sukan Linping.

Pada final itu, walaupun lawannya dilihat memiliki sedikit kelebihan fizikal, Arif Afifuddin dengan ketinggian 1.83 meter (m) tidak gentar untuk memberikan segalanya untuk mencipta sensasi.

Kecederaannya ketika pertarungan berbaki 15 saat sedikit merisaukan peminat negara namun beliau berjaya mengekalkan keduudukan.

Wakil Vietnam, Do Thanh Nhan dan Mohammad Al-Jafari dari Jordan meraih gangsa bagi acara itu, selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi penentuan gangsa.

Arif Afifuddin, pemenang pingat perak Sukan SEA 2019, mara ke final selepas menewaskan juara Sukan SEA Kemboja, Sandi Firmansyah dari Indonesia 4-3 pada suku akhir dan Baek Junhyeok dari Korea Selatan 5-2 pada separuh akhir.

Sementara itu, pertukaran kategori berat badan ke bawah 67kg jelas menjejaskan prestasi pemenang pingat tunggal karate pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang di Indonesia, S. Prem Kumar.

Beliau, yang meraih gangsa kategori Kumite bawah 60kg lelaki di edisi lepas, tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas 0-8 kepada pemenang pingat perak edisi lepas, Amirali Didar dari Kazakhstan.

Bagi saingan bawah 55kg wanita, P. Madhuri terpaksa akur 2-11 kepada Leen Mansour dari Jordan pada pusingan 16 terakhir.

Sebelum ini, Lovelly Anne Robberth menghadiahkan pingat perak acara Kata individu wanita sebelum berganding dengan Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil untuk perak acara Kata berpasukan..

Kali terakhir karate negara meraih emas Sukan Asia adalah pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, menerusi Lim Chee Wei (Kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krisnan (Kumite 61kg wanita).

– BERNAMA

 


Pengarang :