SHAH ALAM, 7 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) menjadi pusat sehenti bagi usahawan untuk mempromosi produk dan mendapatkan bimbingan perniagaan.
Pengurus Produk PPFB Sdn Bhd (Pasta Panas) berkata peluang bertemu dengan ramai pihak dimanfaatkan sepenuhnya untuk lebih mendalami perniagaan berteraskan barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/1-22-500x333.jpg.webp)
“Sebelum ini di Pasta Panas kita hanya tumpu kepada restoran tetap kini kita cuba kembangkan kepada produk FMCG iaitu makanan yang dibungkus dan sedia untuk dimasak.
“Di sini kita belajar daripada usahawan lain terutama mengenai pembungkusan serta teknik pemasaran FMCG kepada tiga produk terbaharu kita iaitu sos bolognese, sos keju dan sos shoyu pedas yang sedia dimasak” kata Muhammad Sharawy Mohd Iqbal ketika ditemui hari ini.
Sementara itu Perancang Pemasaran Got Kimchi Ent Norhayanee Mohamad Azmi berkata SELBIZ membuka peluang eksport produk keluaran syarikatnya selepas beberapa pihak memberi galakan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/6-17-500x333.jpg.webp)
“Di SELBIZ ada beberapa pihak termasuk agensi kerajaan memberi galakan supaya kami mengeksport produk ke luar negara berdasarkan potensi yang kami ada termasuk memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pembungkusan produk yang menarik.
“Mereka sedia membimbing daripada segi prosedur dan sebagainya. Tidak salahlah pilihan kami untuk menyertai SELBIZ kerana ia membuka peluang mengembangkan perniagaan bukan saja di dalam negara malah luar negara,” katanya.
Pentadbir dan Rakan Usahasama UncleZamBox Aizat Zainuddin berkata menerusi SELBIZ lebih ramai pihak mengenali perkhidmatan mesin layan diri 24 jam yang menyediakan hidangan sedia untuk dimakan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/4-22-500x333.jpg.webp)
“Di negara lain termasuk Singapura mesin seperti ini sudah popular namun di Malaysia masih agak baru.
“Berbeza dengan yang lain, mesin layan diri UnclezamBox dilengkapi ketuhar gelombang mikro yang membolehkan pengguna menikmati makanan mereka segar dan panas dalam masa lima minit sahaja,” katanya.
SELBIZ 2023 yang berlangsung tiga hari sejak semalam menyediakan 200 reruai jualan daripada pelbagai industri dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung.
Ekspo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini turut menampilkan pelbagai program antaranya termasuklah jualan fiesta kopi, cabutan bertuah, larian santai dan ceramah keusahawanan.