Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membawa peti undi dari pelbagai saluran ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul apabila selesainya proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: Proses pengundian PRK Pelangai berjalan lancar

BENTONG, 7 OKT: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang tamat pada 6 petang tadi berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau ketika dihubungi Bernama malam ini berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan gangguan terhadap proses pengundian yang bermula pada 8 pagi di sembilan pusat mengundi.

Dalam pada itu, Yahaya berkata sepanjang 14 hari tempoh berkempen, 95 permit ceramah dan kempen telah diluluskan selain dua laporan polis diterima.

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

– BERNAMA


Pengarang :