Antara acara pada Festival Motac D’Desa @ Selangor di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam pada 7 Okt 2023. Foto Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
BERITA UTAMASELANGOR

Festival seni, budaya Sabak Bernam rancakkan ekonomi setempat

SUNGAI BESAR, 8 OKT: Penganjuran Festival Motac D’Desa @ Selangor selama tiga hari bermula Jumaat lepas diharap merancakkan lagi ekonomi bagi sektor pelancongan, seni dan budaya setempat.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Shaharudin Abu Sohot berkata menerusi festival itu, masyarakat setempat serta sekitar diharap dapat menikmati kemakmuran ekonomi menerusi penjanaan pendapatan jualan produk termasuk makanan, penginapan serta aktiviti yang berkaitan.

Katanya, festival itu menjadi landasan terbaik mengangkat industri pelancongan budaya di peringkat negeri dan Persekutuan bersesuaian dengan pemilihan daerah Sabak Bernam sebagai lokasi festival berkenaan.

“Pemilihan Sabak Bernam sebagai satu daripada lokasi penyemarakan seni budaya di peringkat akar umbi adalah tepat.

“Daerah ini memiliki daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong datang berkunjung. Sabak Bernam dan daerah berhampiran seperti Kuala Selangor dan Hilir Perak merupakan destinasi pelancongan yang penting di Malaysia,” katanya dalam ucapan aluan festival berkenaan di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam di sini malam tadi.

Persembahan anak muda pada Festival Motac D’Desa @ Selangor di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam pada 7 Okt 2023. Foto Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Katanya lagi, keramaian dan kemeriahan pelaksanaan festival itu turut menggambarkan perpaduan dan keharmonian masyarakat yang selari dengan falsafah Malaysia Madani serta teras kedua Dasar Kebudayaan Negara (Daken) iaitu keharmonian masyarakat melalui aktiviti kebudayaan.

Pelaksanaan Festival Motac D’Desa @ Selangor merupakan satu daripada inisiatif kementerian itu untuk terus menyemarakkan aktiviti seni budaya dan pelancongan setempat terutamanya di Selangor.

Pada masa sama, ia juga merupakan usaha kementerian bagi memelihara dan memulihara warisan seni budaya negara melalui pelaksanaan program sebegini.

Acara tarik tali pada Festival Motac D’Desa @ Selangor di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam pada 7 Okt 2023. Foto Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Antara pengisian menarik program yang menyasarkan kira-kira 6,000 pengunjung itu ialah pertandingan Karaoke D’Desa, persembahan kebudayaan, jualan kraftangan dan produk tempatan, peruncitan, sukaneka keluarga serta himpunan konvoi motor klasik.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah dalam ucapan perasmian berkata festival berkenaan membuktikan manifestasi terhadap pengukuhan keharmonian dan kesepaduan masyarakat tempatan selari dengan hasrat menjayakan serta membangunkan rakyat Malaysia Madani.

Katanya lagi, kerajaan Selangor juga bersedia untuk menjadi hab atau pangkalan kepada pusat pengiktirafan yang memberi peluang kepada penggiat seni tempatan menyerlahkan identiti dan keperibadian budaya tempatan setara dengan nilai sumbangan dalam bidang yang lain.

-BERNAMA


Pengarang :