Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin (belakang tiga kanan) bergambar selepas pelancaran Kiddo Foodbank Puchong di Tabika Kas Permata Court, Puchong Utama Court 2 pada 8 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

100 kanak-kanak kurang zat disasar terima susu, vitamin selama setahun

SUBANG JAYA, 8 OKT: Seramai 100 kanak-kanak malnutrisi (kurang zat) sekitar parlimen Puchong disasar menerima bekalan susu tepung dan pelbagai jenis vitamin selama setahun bagi tumbesaran.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif menerusi Kiddo Food Bank menumpukan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mengalami masalah bantut, kurang berat badan dan susut.

Menurut Yeo Bee Yin, usaha itu dibuat berikutan 35 peratus daripada 228 kanak-kanak bawah enam tahun yang disaring dalam program Jom Sihat, Jun lalu mengalami masalah berkenaan.

“(Berikutan itu, pusat khidmat) akan membekalkan bekalan susu tepung bernutrien dan multivitamin setiap bulan dan pertumbuhan mereka direkodkan dalam aplikasi Puchong Homies.

Kanak-kanak menyertai aktiviti yang disediakan sempena program Kiddo Foodbank Puchong di Tabika Kas Permata Court, Puchong Utama Court 2 pada 8 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“(Ini) bagi memantau tumbesaran dan memastikan anak-anak ini membesar dengan sihat dan menjamin perkembangan kognitif,” katanya selepas melancarkan program itu di Puchong Utama hari ini.

Beliau berkata susu tepung bernutrien paling berkesan mengatasi isu malnutrisi kerana mengandungi protein berkualiti tinggi, karbohidrat lemak susu selain pelbagai vitamin dan mineral.

Bee Yin menambah pihaknya turut merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi luar negara untuk menilai program tersebut secara menyeluruh bagi memastikan keberkesanannya.

“Diharap selepas setahun saya boleh membawa cadangan ini untuk dilaksana ke seluruh negara dan membantu mengatasi masalah bantut serta malnutrisi kanak-kanak,” katanya.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, masalah bantut dalam kanak-kanak di Malaysia meningkat dari 17.1 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus tahun lalu.

 


Pengarang :