Contoh injap sluice yang ditunjuk kepada wakil media ketika sidang media pelaksanaan kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Senggara aset loji 10 Oktober, lori tangki digerakkan ke premis kritikal

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menambah baik dan menyelenggara aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober.

Dijangka siap dalam tempoh 51 jam, lebih separuh daripada 35 kerja yang dilaksana tertumpu kepada penggantian injap berusia 50 tahun, sekali gus mengelak kerosakan luar jangka.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Abas Abdullah menjelaskan penyenggaraan aset dibuat secara berkala pada setiap tahun, namun ia tidak melibatkan gangguan bekalan air.

“Kali ini memang memerlukan kita buat penutupan sepenuhnya bagi membolehkan kita menggantikan aset (yang dikenal pasti),” katanya dalam sidang media di LRA berkenaan pada 5 Oktober.

Dalam pada itu, jelasnya, Air Selangor akan menggerakkan 75 lori tangki air dan bekalan alternatif ke sekitar wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat untuk membantu pengguna.

Beliau berkata agihan bekalan air diutamakan di premis kritikal seperti hospital dan klinik di 49 lokasi mulai 10 Oktober, manakala pengguna pula pada 11 dan 12 Oktober.

“Jadi diharap pengguna dapat membuat persiapan yang diperlukan,” katanya yang menasihatkan pengguna supaya menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh berkenaan.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan pelaksanaan kerja itu menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di tiga wilayah berkenaan bermula 9 pagi pada 10 Oktober.

Kerja tersebut dijangka siap jam 7 malam hari sama. Bekalan air diagih berperingkat dengan dijadual pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari pada 12 Oktober.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman sosial rasmi Air Selangor bagi mengetahui status terkini bekalan air di kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Selain media sosial, pengguna juga boleh menghubungi talian 15300 atau rujuk pautan waterupdates.airselangor.com (sebelum ini dikenali hentitugas.airselangor.com).


Pengarang :