AGENDANASIONAL

804 anggota polis kena hukuman tatatertib termasuk buang kerja

SHAH ALAM, 8 OKT: Seramai 804 pegawai dan anggota polis dihukum termasuk dibuang kerja atas pelbagai kesalahan tatatertib antara Januari hingga Ogos lalu.

Menurut Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, seramai 475 pegawai dan anggota dikenakan amaran, denda (144) dan lucut hak emolumen (84), lapor Berita Harian.

Pengarahnya Datuk Seri Azri Ahmad menjelaskan 69 anggota turut dibuang kerja, selain tangguh pergerakan gaji (16), turun gaji (lapan) dan turun pangkat (lapan).

“Dalam tempoh sama juga, seramai 611 pegawai dan anggota ditahan kerja serta 173 digantung kerja dan sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib dibuka,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau menambah data hukuman tatatertib menunjukkan ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga polis bukanlah retorik semata-mata.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan memberi amaran terhadap anggota yang bersubahat dengan sindiket jenayah demi habuan peribadi.


Pengarang :