Ketua Wilayah Selatan Air Selangor Mohd Yunus Othman (kanan) memberi penerangan mengenai projek penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selenggara aset loji, pengguna dinasihat simpan bekalan air secukupnya

SHAH ALAM, 9 OKT: Pengguna di tiga wilayah yang terkesan susulan penyelenggaraan aset Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat esok dinasihat menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga meminta pengguna di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan selama 51 jam.

Syarikat itu memberitahu lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan kerja berkaitan dijangka siap pada 7 malam hari sama dengan bekalan air diagih berperingkat dan pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari pada Khamis.

Pada 5 Oktober, pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Abas Abdullah berkata kerja yang dilaksana tertumpu kepada penggantian injap berusia 50 tahun untuk mengelak kerosakan luar jangka.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman sosial rasmi Air Selangor bagi mengetahui status terkini bekalan air di kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Selain media sosial, pengguna juga boleh menghubungi talian 15300 atau rujuk pautan waterupdates.airselangor.com (sebelum ini dikenali hentitugas.airselangor.com).


Pengarang :