PBTSELANGOR

Cat petak khas tanpa kebenaran, MBPJ batal lesen niaga sebuah syarikat

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membatalkan lesen perniagaan sebuah syarikat kerana gagal mengemukakan maklum balas terhadap notis penjelasan mengecat petak khas tanpa kebenaran.

Sekretariat media unit komunikasi korporat MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil susulan kegagalan syarikat itu mengemukakan maklum balas dalam tempoh seminggu.

“MBPJ menerima aduan berkenaan empat syarikat telah melakukan kesalahan mengecat petak khas tanpa kebenaran majlis dan telah mengeluarkan notis penjelasan mengapa lesen tidak sepatut dibatalkan.

“Sepanjang tempoh notis tersebut dikeluarkan, MBPJ hanya menerima maklum balas daripada tiga syarikat sahaja manakala satu lagi tidak mengemukakan sebarang maklum balas.

Dalam perkembangan berasingan, MBPJ memaklumkan menerima sebanyak 244 aduan berhubung rumah kosong dan pemilik lot tanah terbiar yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemiliknya setakat September lalu.

“Mengikut data, seramai 423 pemilik rumah dan lot terbiar mempunyai tunggakan caj pemotongan bil rumput panjang setakat September lalu dan MBPJ sedang mengambil tindakan tuntutan sivil bagi menuntut tunggakan bil-bil tersebut,”katanya.

Susulan itu, MBPJ menggesa kepada pemilik-pemilik rumah kosong dan lot terbiar diminta untuk memastikan kawasan lot mereka sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik.

Jelasnya, pemilik boleh membuat semakan tunggakan dan melunaskan bil tunggakan sedia ada dengan merujuk Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran di Tingkat 9 Menara MBPJ.


Pengarang :