Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas melawat mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya pada 18 Ogos 2023. Foto S Preakas
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Kota Kemuning baik pulih rumah mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 9 OKT: Nasib sebuah keluarga di Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya yang hampir dua bulan hilang tempat berteduh selepas kediaman hangus dalam kebakaran mendapat perhatian wakil rakyat Kota Kemuning.

S Preakas memberi jaminan akan membaik pulih kerosakan rumah Yaep Yann Hong selepas penilaian lengkap insiden terbabit diperoleh daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling dijangka dalam tempoh terdekat.

“Kejadian terbabit berlaku pada 18 Ogos lalu dan saya turun padang melihat keadaan rumah mangsa bagi membantu mendapatkan bantuan bencana daripada PTD.

“Borang bantuan tersebut sudah diserah kepada pengarah mukim berkenaan untuk buat penelitian dan difahamkan ia sedang berjalan.

“Saya sudah mengarahkan pihak berkaitan supaya kelulusan peruntukan dibuat secepat mungkin agar kerja baik pulih rumah mangsa dapat disegerakan,” katanya dihubungi.

Keadaan rumah mangsa yang hangus dalam kebakaran di Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya pada 18 Ogos 2023. Foto S Preakas

Buat masa ini, Preakas memaklumkan mangsa yang berusia lingkungan 40-an terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat bersama isterinya sementara menunggu kerja baik pulih dilaksanakan.

“Saya simpati dengan nasib keluarga terbabit. Difahamkan ketika ini mereka masih buat kerja pembersihan barangan yang terbakar dalam rumah,” katanya.


Pengarang :