AGENSISELANGOR

Mais bimbing 2,779 asnaf terpesong agama ke jalan benar

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyantuni seramai 2,779 golongan asnaf riqab sepanjang tahun ini, kata Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Menurut beliau selain bantuan kebajikan, golongan dibelenggu masalah sosial, masalah akidah dan terpesong dari agama Islam itu turut dibimbing kembali ke jalan yang benar.

“Mais berperanan membantu pemulihan asnaf riqab dengan melaksanakan pelbagai program bagi menyantuni, membimbing dan menjaga kebajikan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selaras tanggungjawab itu, Dr Ahmad Shahir berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan Forum Perdan Ehwal Islam bagi memberi peluang orang ramai mengenali asnaf riqab.

“Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Selangor, adalah menjadi tanggungjawab Mais melaksanakan program kesedaran melibatkan isu sosial, akidah dan kesihatan mental.

“Mais berharap, penganjuran Forum Perdana Hal Ehwal Islam ini umat Islam dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah kesihatan dan gejala sosial yang berlaku kini,” katanya.

Forum bertajuk ‘Luka Semalam’ akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM TV1 jam 9 malam pada 12 Oktober.

Maklumat lanjut berhubung perkhidmatan yang disediakan oleh Mais boleh diikuti di platform media sosial Mais dan laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.


Pengarang :