Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei meninjau keadaan longkang tersumbat dan dipenuhi sisa minyak di Taman Berjaya, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook Ong Chun Wei
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pemilik premis makanan diingatkan patuh syarat PBT, elak dikompaun

SHAH ALAM, 10 OKT: Pemilik premis makanan dan restoran sekitar Balakong diingatkan supaya memasang sistem perangkap minyak seperti disyarat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Wakil rakyatnya Ong Chun Wei menjelaskan langkah itu bagi mengelak pengusaha dikenakan tindakan kompaun atau notis peringatan sekiranya pemeriksaan dilakukan PBT.

“Sebenarnya pemasangan sistem perangkap minyak antara syarat wajib untuk mendapatkan lesen. Jadi saya ingatkan (pemilik premis) patuh arahan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Jika pemeriksaan mendapati tidak pasang, (pemilik premis) boleh kena tindakan sama ada kompaun atau notis peringatan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 3 Oktober, beliau mengadakan lawatan tapak di Taman Berjaya, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang bagi melihat keadaan longkang yang didakwa tersumbat berikutan dipenuhi sisa minyak dan makanan.

Pemeriksaan mendapati sisa terbabit yang melimpah apabila hujan lebat berpunca dari premis berhampiran yang gagal memasang perangkap minyak hingga mengundang bau busuk dan mencacatkan pemandangan.

Ong menambah orang ramai harus mempunyai kesedaran dalam hal berkenaan walaupun pembersihan longkang dilakukan secara berjadual oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Selain sisa minyak dan makanan, ada juga sampah lain ditemui dalam longkang tersebut seperti perabot dan sampah ini mungkin dibuang orang awam.

“Saya minta masyarakat ubah mentaliti dan jangan buang sampah di tempat tidak sepatutnya. Memang pembersihan dibuat ikut jadual, tetapi isu ini tidak akan berakhir kalau kita tidak ubah sikap,” katanya lagi.

 


Pengarang :