SHAH ALAM, 10 OKT: Wakil rakyat Balakong memohon supaya kuota baucar Jom Shopping sempena Deepavali ditingkatkan tahun ini bagi menampung keperluan penganut Hindu di kawasan itu.
Ong Chun Wei berkata selain Cina, penduduk di kawasan terbabit turut dihuni ramai masyarakat India iaitu kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang dengan majoriti berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kita sudah mula menerima permohonan baucar beli-belah ini daripada penduduk India sejak dibuka minggu lepas. Kita daftarkan dahulu mereka kerana taklimat berhubung kuota baucar akan dibincang Rabu ini.
“Bagaimanapun saya berharap ada kuota lebih berbanding kira-kira 400 hingga 500 yang diperuntuk tahun-tahun sebelum ini. Kita mahu manfaatkan seramai boleh penduduk India kurang mampu,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau berkata baucar bernilai RM200 itu amat dinantikan rakyat menjelang musim perayaan bagi memudahkan persiapan membeli barangan keperluan.
“Apatah lagi ketika ini negara berdepan peningkatan harga barang disebabkan isu global yang tidak boleh dielakkan. Kerajaan Selangor menyedari perkara ini, sebab itu inisiatif ini diwujudkan,” katanya.
Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.
Selain Deepavali, program bantuan iu turut diberi kepada keluarga kurang berkemampuan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina untuk membeli barangan keperluan.
Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.