AGENDANASIONAL

Mahasiswa ditahan rempuh sekatan polis, miliki 19 pasport palsu

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Seorang penuntut universiti awam yang ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya di Ampang di sini semalam, didapati memiliki 19 pasport milik orang lain disyaki palsu.

Dalam kejadian pada 11.45 malam itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit yang menaiki motosikal merempuh sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah dan polis mengejarnya menyebabkan lelaki itu berpatah balik melawan arus.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki lesen dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut dalam beg galas di belakang badan lelaki terbabit menemukan 14 pasport Bangladesh dan lima pasport Indonesia milik orang lain.

“Lelaki itu yang tidak memiliki rekod jenayah dan negatif terhadap dadah kini direman hingga Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport orang lain.

– BERNAMA


Pengarang :