Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap di Jalan Bukit Badong, Kuala Selangor pada 21 September 2023. Foto Facebook KSSB
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kumpulan Semesta rekod 13 juta jam kerja tanpa kemalangan

SHAH ALAM, 12 OKT: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan anak syarikatnya meraih rekod pencapaian bekerja 13 juta jam tanpa kemalangan (LTI) setakat 30 September lalu.

KSSB memaklumkan kejayaan berkenaan mencerminkan kecekapan pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan, selain komitmen kukuh semua kakitangan.

Menurutnya, Projek Turapan Mega yang dilaksana anak syarikatnya, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) sejak Jun lalu merupakan antara penyumbang terbesar kepada kejayaan tersebut.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada KSSB dan anak-anak syarikat atas kejayaan dalam mencapai sasaran sebanyak 13 juta jam bagi LTI 2023.

“Keseluruhan KSSB dan anak-anak syarikat telah berjaya mencapai sebanyak 13,003,048 juta jam setakat 30 September 2023,” katanya di Facebook.

Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Broga, Semenyih, Hulu Langat pada 6 September 2023. Foto X Infrasel

Minggu lalu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat KSSB Suhaimi Khalidi memaklumkan kerja turapan jalan secara besar-besaran di sembilan daerah hampir siap, mencecah 90 peratus setakat ini.

Projek Turapan Mega melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Dato’ Menteri Besar berkata projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta bagi memastikan jalan raya negeri ini dalam keadaan baik untuk keselamatan pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pemilihan jalan untuk dibaik pulih berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang mereka laporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel.


Pengarang :