Pelajar tajaan dermasiswa luar negara Lembaga Zakat Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Timur Tengah pada 8 Oktober 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS)
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS sedia RM1.37 juta taja pendidikan pelajar asnaf ke Timur Tengah

SHAH ALAM, 12 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk sejumlah RM1.37 juta bagi tajaan dermasiswa luar negara ke Timur Tengah tahun ini.

Agensi itu memaklumkan tajaan tersebut membabitkan 17 pelajar asnaf fakir miskin dan fisabilillah yang melanjutkan pengajian di Mesir, Jordan dan Maghribi.

“Penghantaran terakhir untuk pelajar luar negara ke Mesir yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Qiraat pada 26 Oktober. Pihak kami mendoakan semoga pelajar luar negara tajaan LZS berjaya dengan cemerlang,” kata agensi itu di Facebook.

LZS turut mendokan pengeluar zakat yang menunaikan tanggungjawab sentiasa mendapat rahmat dan bertambah rezeki kerana berkongsi rezeki.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Selangor yang layak menyambung pengajian di Mesir dan Jordan memohon dermasiswa yang dibuka permohonannya pada 1 hingga 25 Jun lalu.

Sebelum ini, LZS mengumumkan RM32.6 juta untuk membantu 67,798 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin serta mualaf meliputi yuran dan kelengkapan sekolah.


Pengarang :