Stesen LRT Bukit Jalil. Foto laman web klia2.info
AGENDANASIONAL

Operasi LRT Bukit Jalil hingga lewat malam sempena Pestabola Merdeka

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Waktu operasi perkhidmatan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam Sabtu bagi menyemarakkan lagi semangat sokongan kepada pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung esok.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif lanjutan perkhidmatan ini adalah sebagai tanda sokongan Rapid KL terhadap pasukan negara serta penyokong Harimau Malaya dalam memastikan kemudahan pengangkutan awam tersedia, di samping mengurangkan kesesakan di sekitar kawasan stadium pada hari perlawanan nanti.

“Penyokong disaran menggunakan fasiliti ‘Park N Ride’ di stesen-stesen rel terpilih bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik serta kesulitan dalam mencari parkir di kawasan stadium.

“Penyokong juga digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) yang sama bagi mendapatkan kadar rata bagi bayaran parkir,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL turut menasihatkan penyokong agar menggunakan kad TnG dan memastikan baki pada kad adalah mencukupi atau membeli token perjalanan pulang lebih awal bagi kelancaran perjalanan pergi dan balik.

“Waktu operasi bagi stesen-stesen integrasi juga akan dilanjutkan manakala stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa. Bagaimanapun, penumpang masih boleh keluar di stesen-stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, penumpang boleh melayari laman web www.myrapid.com.my serta laman sosial Twitter dan Facebook MyRapidKL.

-BERNAMA


Pengarang :