Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyita kilang memproses dan melupus hasil laut sejuk beku tamat tempoh yang menyebabkan pencemaran air dalam operasi bersepadu di Taman Industri Alam Jaya pada 10 Oktober 2023. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

Sebabkan pencemaran air, kilang proses hasil laut diarah tutup

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebuah kilang memproses dan melupus hasil laut sejuk beku tamat tempoh diarah tutup kerana menyebabkan pencemaran air di kolam tadahan Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata kilang itu didapati mengalirkan air pelupusan hasil laut secara terus ke parit berhampiran dan sisa mengalir ke dalam kolam tadahan berkenaan.

Operasi bersepadu bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kelmarin hasil susulan aduan awam mengenai kacau ganggu bau, pencemaran air dan ribuan ikan mati di kolam tadahan itu.

“MPKS turut mengeluarkan empat kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKS 2007 serta notis larangan pengeluaran efluen dari kilang tersebut.

Kolam tadahan di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam yang dicemari air pelupusan hasil laut pada 10 Oktober 2023. Foto Facebook MPKS

“Kilang itu juga diarah untuk membuat pelupusan segera melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) dalam tempoh satu hari,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, LUAS mencadangkan inisiatif bagi mengurangkan dampak pencemaran sungai meliputi Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Polluter-Pays Principle (PPP) yang memberi kesan langsung kepada peningkatan kualiti air.

ZDP menumpukan industri dan premis niaga yang mewajibkan mereka mengitar semula efluen (sisa kimia atau kumbahan) dan tidak melepaskannya ke dalam sungai.


Pengarang :