Lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan kilang lama di Kampung Coldstream, Bidor, Ipoh pada 29 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

16 kematian direkod daripada 32 kes kemalangan elektrik hingga 30 September

JASIN, 12 OKT: Suruhanjaya Tenaga (ST) merekodkan 32 kes kemalangan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun ini setakat 30 September lalu dengan 16 daripadanya membabitkan kehilangan nyawa.

Timbalan Pengarah Kanan Unit Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST Fairus Abd Manaf berkata lokasi kemalangan antaranya di rumah dan kilang termasuk satu kes maut di Melaka yang berpunca daripada renjatan elektrik.

“Justeru ST terus komited untuk mempergiat kesedaran kepada masyarakat bahawa keselamatan elektrik sangat penting dengan memastikan pendawaian di rumah adalah selamat dan mematuhi keperluan teknikal mengikut standard ditetapkan.

“Kita juga menasihati masyarakat supaya sentiasa cakna dengan bahaya bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini seperti segera menukar atau menyelenggara pendawaian di rumah terutama yang berusia 30 tahun ke atas dan telah usang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat CSR) Touch Point Tambah Baik Sistem Pendawaian Kediaman dan Balai Raya di Kampung Bukit Senggeh, Selandar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fairus berkata pengguna diingatkan supaya sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik antaranya membeli kelengkapan elektrik yang diluluskan dengan label ST-SIRIM dan melaksanakan kerja pendawaian di rumah menggunakan khidmat kontraktor berdaftar.

“Pengguna juga dinasihat agar tidak sesekali mengubah suai kelengkapan elektrik yang rosak, elak daripada menggunakan kelengkapan elektik dalam keadaan basah, tidak menghampiri talian atas elektrik semasa memotong dahan pokok dan menggunakan galah besi untuk mengait buah-buahan berhampiran talian elektrik,” katanya.

Beliau berkata ST turut memperuntuk kira-kira RM270,000 melaksanakan Program Touch Point CSR di seluruh negara tahun ini dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan elektrik.

Fairus berkata ia melibatkan pemeriksaan dan penambahbaikan sistem pendawaian elektrik di kediaman terpilih berdasarkan beberapa kriteria terutama penerima yang tidak berkemampuan.

“Antaranya rumah tersebut terdapat kecacatan atau kejanggalan pada sistem pendawaian sedia ada dan keadaan kelengkapan elektrik yang telah usang dan berisiko tinggi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :