Terjemahan Kitabul Ilmu berjudul Menghidupkan Ilmu Agama: Kitab Ilmu membicarakan kepentingan akal, adab serta keutamaan ilmu agama dan cara mengenali ulama sebenar. Buku tersebut akan diedarkan bulan ini. Foto ihsan IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Buku al-Ghazali bicara adab, dedah bahaya ulama jahat

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Selangor mengukuhkan lagi pengajian agama dengan menerbitkan terjemahan Kitabul Ilmu, kitab pertama Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali, yang akan mula diedarkan bulan ini.

Diterbitkan dengan judul Menghidupkan Ilmu Agama: Kitab Ilmu, karya penting ini dengan tujuh bab membicarakan tentang kepentingan akal, adab serta keutamaan ilmu agama, dan juga cara mengenali ulama sebenar.

Dibiaya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, buku terjemahan Zahid M Naser dan Hilmi Marjunit dilancarkan sebagai karya pertama bawah Siri Warisan Islami Selangor.

“Imam al-Ghazali menjelaskan tentang perdebatan ilmu, juga tentang perdebatan yang melampaui batas. Beliau membandingkan perdebatan ilmu zaman salaf dan zamannya yang boleh diambil iktibar pada waktu sekarang.

“Beliau juga menjelaskan tentang ciri-ciri ulama su’ (jahat) dan ulama akhirat. Imam al-Ghazali menulis untuk orang awam. Diharap orang ramai mendapat manfaatnya, sesuai dengan kehendak al-Ghazali,” kata Zahid kepada Selangorkini pada 5 Oktober.

Projek terbaharu ini digerakkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penerbit lebih 70 karya penting dunia bawah Siri Pencerahan Selangor, sejak Februari lalu sehingga siap disunting pada Julai.

Sokongan menteri besar

Dalam Siri Pencerahan Selangor, IBDE turut menerbitkan beberapa terjemahan karya al-Ghazali dan biografinya. Karya penting dunia yang lain meliputi pelbagai bidang seperti falsafah, politik, sejarah, sastera dan sains.

Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 10 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Projek penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin daripada teks Arab hasil sokongan kuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari awal tahun ini menjelang Festival Turath Islami Selangor pada Mei.

Beliau melancarkan Siri Warisan Islami Selangor pada 28 Mei di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, serentak dengan buku terjemahan biografi al-Ghazali karya William Montgomery Watt.

Menghidupkan Ilmu Agama: Kitab Ilmu, edisi kulit keras setebal 328 muka surat, boleh ditempah awal sehingga 15 Oktober dengan harga promosi RM70. Pembeli awal mendapat peta percuma pengembaraan al-Ghazali untuk menimba ilmu.

Ia diterbit bagi menyemarakkan pengajian kitab-kitab klasik ulama Islam, termasuk ketika festival turath yang julung kali didakan pada 20 hingga 25 Mei.

Festival itu menampilkan beberapa ulama tersohor dari luar negara, antaranya bekas mufti besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dan ulama pondok Pattani seperti Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni (foto) yang menghurai karya al-Ghazali.

Pengajian talaqqi

Selepas kuliah pertamanya pada 1 Mei, Baba Ismail meneruskan pengajarannya secara talaqqi di Masjid Negeri, Shah Alam pada 3 hingga 7 Julai lalu dan kali ketiga pula pada 10 dan 11 Oktober.

Kerajaan Negeri berhasrat mengangkat Selangor khususnya di pusat bandar ini sebagai pusat keilmuan terkemuka Islam seperti dicita-citakan Dato’ Menteri Besar.

Ketika ini, Amirudin mengadakan lawatan kerja di Mesir dan Jordan sebagai usaha mengukuhkan pengajian agama dalam kalangan mahasiswa Selangor. Selain membina asrama di Kaherah, beliau juga mencadangkan imam dan kakitangan jabatan agama mengambil kursus khas di Universiti al-Azhar.

Biografi ulama terkenal ini Muslim Intellectual: A Study of al-Ghazali diterjemah dengan judul Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung, hasil kerjasama IBDE dan Media Selangor Sdn Bhd bawah Siri Pencerahan Selangor.

Ketika bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, IBDE menterjemah lima kitab penting al-Ghazali antaranya Penyelamat daripada Kesesatan (Al-Munqidh min al-Dalal), Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik (Faisal at-Tafriqa Baina al-Islam wa al-Zandaqa) dan Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh.

Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik menghuraikan amalan takfiri (mengkafirkan orang Islam) yang sudah berkembang pada zamannya, kira-kira seribu tahun lalu. Amalan takfiri merebak dalam kalangan umat Islam kini yang terpengaruh dengan aliran melampau.

Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad (terjemahan al-Iqtisad fil Iktiqad) mengulas kedudukan hujah al-Quran dan hadis dengan bantuan ilmu lain seperti logik, bahasa dan etika perdebatan. Sementara Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam (Iljam al-Awam an Ilmul Kalam) menghurai kekeliruan dalam ilmu kalam.


Pengarang :