AGENDANASIONAL

Kerajaan tambah dana RM10 juta banteras jenayah penipuan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan akan menambah peruntukan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kepada RM20 juta berbanding RM10 juta bagi meningkatkan lagi kefungsiannya dalam membanteras jenayah penipuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu akan diagih pada tahun depan.

Beliau berkata ini kerana NSRC telah mengendali lebih 49,000 panggilan dan berjaya membekukan transaksi bernilai sehingga RM60 juta.

“Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Parlimen hari ini.

Anwar berkata dengan kebolehan automasi penjejakan dana, portal itu diharap akan mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana.

Katanya agensi berkaitan juga sedang meneliti keperluan meminda undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil terhadap sindiket dan pemegang akaun keldai seterusnya mempercepat proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan.

– BERNAMA


Pengarang :