Penduduk Palestin memeriksa masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENSISELANGOR

Jais buka tabung bantu rakyat Palestin, selaras kutipan elak pihak ambil kesempatan

SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan tabung kemanusian Palestin bagi menyelaras kutipan dana membantu penduduk negara itu.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata inisiatif bagi memastikan tiada pihak membuat kutipan menggunakan alasan demi manfaat, kepentingan dan pembangunan umat Islam.

Pihaknya juga akan menyalur sumbangan menerusi pihak berautoriti yang diiktiraf Majlis Agama Islam Selangor demi memastikan bantuan sampai kepada sasaran.

“Sebagaimana dimaklumi umum, keadaan konflik di Palestin terus bergolak sejak 7 Oktober dan sehingga kini masih belum berakhir.

“Orang awam disaran menyalur derma ke tabung yang disediakan di masjid dan surau atau terus menyumbang ke akaun Maybank Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menerusi nombor akaun 56210671862, dengan rujukan Pray For Gaza.

“Seluruh masjid dan surau terus diseru membaca doa Qunut Nazilah dan solat hajat mendoakan keselamatan, ketabahan, dan kemenangan perjuangan rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya turut menyelaras kutipan dana membantu mangsa banjir di Libya serta gempa bumi di Maghribi dan Afghanistan.

“Sumbangan boleh disalur menerusi tabung sama atau ke nombor akaun bank TIJARI,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan 2024 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyedia dana RM10 juta serta meluncur tabung kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.


Pengarang :