Peserta dari pelbagai peringkat usia menyertai acara Fun Run sempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat negeri Sabah di Kompleks Sukan Sandakan pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Sambutan Hari Sukan Negara 2023 meriah, ribuan sertai aktiviti sukan, riadah

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ribuan rakyat di seluruh negara hadir seawal 7 pagi bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara 2023 (HSN 2023) hari ini yang sentiasa dinantikan dengan pelbagai aktiviti kesukanan dan riadah.

HSN merupakan agenda nasional, yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua Oktober dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Di Putrajaya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengambil bahagian dalam sukan karom pada HSN peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Kompleks Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) hari ini.

Lebih 500 penjawat awam dari pelbagai agensi dan jabatan di bawah JPM mengambil bahagian dalam lapan sukan yang dipertandingkan termasuk sepak raga ratus, futsal, permainan elektronik (e-permainan) dan permainan batu seremban yang bermula sejak semalam.

Lebih 300 warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) termasuk jabatan dan agensi di bawahnya hadir memeriahkan sambutan HSN 2023 peringkat kementerian.

Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), jabatan serta agensi hadir memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 peringkat kementerian itu di Putrajaya pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Seawal 7 pagi, warga KKD berkumpul untuk menyertai lebih 15 jenis sukan yang dianjurkan termasuk permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, galah panjang serta permainan sukan elektronik (e-sukan).

Maizatusima Judi, 50, berkata HSN merupakan platform terbaik untuk membudayakan kesukanan selain menyatukan masyarakat melalui sukan serta menyuburkan komunikasi yang terhad memandangkan kekangan masa.

“HSN dengan pengisian permainan tradisional juga memberi peluang kepada anak muda yang tidak mengenali permainan seperti batu seremban dan lompat getah yang kian pudar. Bagi saya, permainan itu mengimbau kenangan,” katanya yang bertugas di bahagian pembangunan KKD.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 500 peserta dari kementerian, jabatan dan agensi hadir pada sambutan HSN Peringkat Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Setiausaha KPN Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihaknya melihat aktiviti sukan ini sebagai platform dalam menyatupadukan rakyat dan merapatkan hubungan antara masyarakat.

Di Selangor, sambutan HSN 2023 di IJM Rimbayu, Kuala Langat yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dan antara aktiviti diadakan ialah HSN Run, Korfball Challenge, bola jaring, sukan tradisional dan memanah.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melihat acara sukan selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN2023) Peringkat Selangor di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Dalam program sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan kepada pengurusan PARA SUKMA Selangor 2024, sijil penghargaan kepada rakan strategik HSN 2023 dan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri.

Di Kedah, kira-kira 11,000 peserta hadir memeriahkan sambutan HSN peringkat negeri Kedah 2023 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar hari ini.

Orang ramai berkumpul seawal 7 pagi bagi menyertai pelbagai acara menarik yang diatur termasuklah tiga acara ikonik HSN Fun Ride 30 kilometer (km), Fun Run 5km, dan Fun Walk 3km.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat membuktikan bahawa acara tahunan sejak 2015 itu sentiasa dinanti-nantikan.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersama kepimpinan kerajaan negeri turut serta dalam HSN peringkat negeri yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.

Peserta Orang Kurang Upaya (OKU) turut mengambil bahagian dalam acara ‘fun walk’ pada Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu di Dataran Batu Buruk, pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Program yang dihadiri lebih 1,500 warga Perak itu menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Larian 1,500 Langkah Perpaduan, berbasikal, pertunjukan seni bela diri serta pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Di Pahang, lebih 260,000 individu daripada pelbagai golongan usia mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang bermula semalam sempena HSN di seluruh negeri antaranya rakan muda litar, sofbol, futsal, senamrobik selain program larian dan berbasikal anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang.

Peserta memakai maskot harimau ketika menyertai marathon sempena sambutan Hari Sukan Negara 2023 peringkat negeri Pahang pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata program HSN di negeri itu diadakan tiga hari bermula semalam dengan sambutan rasmi diadakan di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, hari ini.

Program itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman yang mengambil bahagian dalam acara larian.

Di Melaka, HSN peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) meriah dengan kehadiran lebih 10,000 peserta yang menyertai pelbagai acara sukan dan akitiviti bermula 7.30 pagi.

Acara meriah yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu turut dilaksanakan secara serentak di daerah lain iaitu Alor Gajah di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah manakala di Jasin diadakan di Stadium Jasin.

Beliau berkata di peringkat kerajaan negeri Melaka pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan seperti acara larian, berjalan kaki, berbasikal, senamrobik, sukan tradisional, sukan Seni Mempertahankan Diri (SMD), sukan integrasi Orang Kelainan Upaya (OKU), sukan lasak dan sukan elektronik.

Di Negeri Sembilan, pelbagai acara sukan diadakan termasuk Family Fun Walk sejauh 6.5km, klinik sepak takraw NS Antlers, pertandingan Muay Thai, pertandingan e-sukan dan Majlis Anugerah Sukan peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyampaikan anugerah olahragawan dan olahragawati negeri kepada jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan pemain badminton perseorangan wanita negara S.Kisona.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) bergambar bersama penerima anugerah sukan pelbagai kategori pada Hari Sukan Negara 2023 peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Selain itu, anugerah atlet para lelaki terbaik diberikan kepada Shahrilulzaily Md Rashid manakala Aleeya Fariesya Faizul Rizal muncul atlet para wanita terbaik.

Di Johor, HSN disambut meriah di Dataran Puteri Harbour, Iskandar Puteri, dengan pelbagai aktiviti kesukanan seperti Fun Run 5km.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata program tahunan Kementerian Belia dan Sukan itu selari dengan matlamat Johor yang sentiasa menyemarakkan aktiviti kesukanan dalam kalangan rakyatnya.

Di Terengganu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga pemangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali merasmikan sambutan HSN peringkat negeri.

Lebih 3,000 pengunjung membanjiri Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan seperti acara Fun Ride sejauh 30km dari Dataran Batu Buruk ke Kuala Nerus, karnival silat pantai, kejohanan penalti pantai, kejohanan petanque dan pameran oleh agensi serta jabatan kerajaan.

Di Kelantan sambutan HSN Peringkat Negeri 2023 diadakan di Taman Etnobotani, Gua Musang dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti berbasikal Fun Ride sejauh 20km dan Fun Run 5km.

Majlis sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut merasmikan acara berkenaan.

Peserta menyertai senamrobik pada Program Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama

Bagi pelatih di Kementerian Belia dan Sukan Kelantan Zulhilmi Zuaswa, 20, yang berkebolehan menimbang bola amat teruja apabila dipilih mempamerkan aksi free style di hadapan Timbalan Perdana Menteri.

“Walaupun saya sudah dua kali mewakili negara bertanding free style tetapi pengalaman hari ini membuatkan saya meremang bulu roma. Apa-apapun melihat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhibur dan bertepuk tangan tadi membuatkan saya terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik mewakili negara hujung tahun ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :