AMPANG JAYA, 16 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengemukakan kerangka polisi sifar lepas bahan buangan (zero discharge policy) kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.
Pengarahnya Hasrolnizam Shaari berkata polisi bagi menangani isu pencemaran sungai berpunca pelbagai aktiviti sudah disiapkan dan pelaksanaannya dijangka bermula selewat-lewatnya tahun depan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/p1-3-500x348.jpg.webp)
“Polisi ini wajar diketengahkan berikutan keadaan semasa di seluruh lembangan sungai di Selangor yang dipenuhi pelbagai aktiviti. Jadi untuk ada kawalan (aktiviti), kita cadangkan pendekatan ‘zero discharge policy’.
“Kita sudah siapkan kerangka peraturan baharu dan akan kemukakan kepada Kerajaan Negeri. Kita percaya sedikit masa lagi keputusan terhadap pendekatan tersebut akan dibuat,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas sambutan Hari Sungai Sedunia dan program Kutip Sampah Sambil Riadah di Sungai Ampang, Kampung Muhibah Lembah Jaya di sini semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/m1-6-500x306.jpg.webp)
Sebelum ini, agensi itu memaklumkan akan meneliti polisi pelepasan sifar selaras dengan Seksyen 44(1)(b) Enakmen LUAS 1999 untuk dilaksanakan pada masa depan bagi mengurangkan bebanan pencemaran sungai.
Pada 13 Mac 2021, LUAS dipetik berkata terdapat 1,187 aktiviti dikesan boleh mengakibatkan pencemaran di pinggir enam sungai.
Jumlah itu melibatkan 537 akitiviti risiko pencemaran di Sungai Sembah, Sungai Klang (475), Sungai Damansara (100), Sungai Semenyih (60), Sungai Baranang (9) dan Sungai Rinching (6).
Hasil kajian inventori agensi itu, kegiatan risiko pencemaran sungai termasuk perkilangan, pertanian, kediaman, perniagaan, perkhidmatan, penternakan dan akuakultur.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/MPAJ-1-500x334.jpg.webp)