Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, Putrajaya pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM saran sektor swasta kaut untung tinggi naikkan kadar upah munasabah

SHAH ALAM, 16 OKT: Perdana menteri menyarankan majikan syarikat swasta yang memperoleh keuntungan tinggi setiap tahun untuk meningkatkan kadar upah pekerja secara munasabah.

Memetik kajian Jabatan Statistik Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar upah dalam sektor itu sangat sederhana meskipun produktiviti pekerja meningkat, lapor Astro Awani.

Beliau juga meminta majikan sektor berkenaan menyahut isyarat kerajaan yang sedang menyiapkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam demi kesejahteraan penjawat awam.

Malah, katanya, kerajaan masih mampu menyediakan insentif RM2,000 buat kakitangan awam gred 56 ke bawah dan RM1,000 untuk pesara meski berdepan kekangan kewangan ketika ini.

“Sebab itu, sementara saya beri RM2,000 kepada penjawat awam, RM1,000 kepada pesara sebagai penghargaan kepada perkhidmatan mereka, kajian persaraan harus disiapkan. Dalam pertengahan tahun depan kena siapkan, supaya ada pengumuman penting dalam belanjawan akan datang.

“Tetapi saya minta (kepada) sektor swasta, kerana ada (pekerja) yang mengadu, syarikat untung sehingga RM400 juta setahun, tetapi upah tidak meningkat.

“Saya harap signal kerajaan untuk berikan pengiktirafan kepada penjawat awam turut disambut sektor swasta, yang catat keuntungan baik. Berilah sedikit tambahan yang munasabah,” katanya.

Berucap pada majlis di Putrajaya hari ini, Anwar turut mengingatkan penjawat awam termasuk pengurusan tertinggi untuk lebih proaktif dalam membuat penjimatan.

Perdana menteri berkata lebih banyak perbelanjaan kerajaan boleh diarahkan kepada pembangunan negara dan masyarakat jika penjimatan dana dijadikan sebagai budaya,

“Bazir-membazir ini kita selalu lihat yang besar, tetapi lupa cara kita guna elektrik di pejabat Cara guna pen (contoh). Pen ketua jabatan ada lima, Ketua Setiausaha Kementerian ada 10, KSN 12, menteri 15, perdana menteri 20, atau tak sampai, saya ingat 18.

“Maknanya, kita kena ingat, ini merupakan dana awam. Kalau boleh ini perlu dinilai semula,” katanya.


Pengarang :