Pemain Ampang Ukay Positive FC (kanan) menyekat pergerakan tonggak Ingress KL FC dalam perlawanan ketiga kumpulan A Liga Juara Selangor di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 14 Oktober 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: Sijangkang City belasah Kajang Northern

SHAH ALAM, 16 OKT: Sijangkang City FC memperbaiki kedudukan dalam kumpulan B selepas berpesta gol membelasah Kajang Northern Merbau FC 4-0 dalam perlawanan ketiga Liga Juara Selangor (SCL 2023).

Affizee Faisal membuka jaringan pada minit ke-23 diikuti gol Rahizi Rasib lapan minit kemudian yang membolehkan pasukan mereka selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Hariz Fazrin dan Faiz Zikry turut mencatat nama sebagai penjaring pada babak kedua sekali gus mengesahkan tiga mata pertama Sijangkang City FC di Arena MBSJ, Subang Jaya hujung minggu lalu.

NPNG Damansara Perdana mengekalkan kedudukan di puncak liga dengan tujuh mata selepas bangkit mengikat Selangor FC Youth 2-2 hasil jaringan lewat permainan Stuart James.

Mengekori rapat, AAK FC Puncak Alam yang berkongsi satu mata dengan MBSA FC, hasil keputusan seri 2-2 sementara PJ Kelana United dan Najmi SFFC Kota Damansara terikat 1-1.

Sementara itu, kedudukan dalam kumpulan A tidak berubah selepas semua empat perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Pasukan tangga bawah Ingress KL FC berjaya meraih mata pertama musim ini selepas bangkit mengikat Ampang Ukay Positive FC 1-1 menerusi jaringan Ahmad Danish pada minit ke-42.

KKB Brotherhood kekal menerajui liga dengan tujuh mata walaupun terikat tanpa jaringan dengan pasukan kedua FC Klang Frenz United FC manakala keputusan sama dicatat dalam perlawanan antara Gombak FA dan Kg Bharu Boss FC.

Tebuan FC Kg Pinang pula kekal di kedudukan keenam dengan dua mata hasil keputusan seri 1-1 menetang Kru Port Klang FC.

 


Pengarang :