Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menghubungi Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM nyata sokongan tidak belah bahagi buat Palestin

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh usaha pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata adalah penting bagi Israel untuk mengetepikan sikap mereka terhadap politik perampasan, gencatan senjata serta-merta dengan Hamas dan berusaha ke arah resolusi keamanan untuk menamatkan konflik yang berterusan.

“Saya mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh semalam, untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas disebabkan krisis yang berlaku ini,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan terutamanya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan.

Jumaat lepas, Anwar berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan RM10 juta kepada Palestin dan berharap syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta dapat menyumbang bagi meningkatkan jumlah bantuan kepada RM100 juta.

-BERNAMA


Pengarang :