Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan pertimbang beri subsidi pada rakyat guna pindahan tunai

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan sedang mempertimbang untuk menyalurkan subsidi terus kepada rakyat melalui pemindahan tunai bagi mengelak ketirisan dan dinikmati warga asing.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu tidak boleh digunakan untuk semua jenis subsidi seperti ayam dan telur berikutan harganya turun.

“Cadangan untuk pemindahan tunai itu sedang dipertimbang yang akan diumumkan (bagi perkara) yang lebih besar untuk elakkan ketirisan dan (elak beri) manfaat kepada warga asing.

“Itu (pemindahan subsidi secara tunai) sedang difikirkan dalam rangkaian lain yang lebih kompleks tetapi dalam kes ayam dan telur tidak perlu kerana harganya sudah menurun,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 10 Oktober 2023. Foto BERNAMA

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Mohd Shahar Abdullah berhubung kaedah pemindahan tunai untuk memastikan subsidi sampai terus kepada rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Berhubung hasrat mengapungkan harga ayam dan telur seperti diumumkan dalam belanjawan lalu, Anwar berkata ia bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran dan sepatutnya.

Beliau memaklumkan jumlah subsidi keseluruhan untuk kedua-dua barangan terbabit mencecah RM3.7 bilion sejak 2022, namun turut menguntungkan 3.5 juta orang asing dan golongan kaya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata tindakan kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur berikutan harga rendah dan bekalan yang besar.

“Pendekatan yang kita buat melihat keadaan harga pasaran sekarang dengan harga siling ayam dan telur di Thailand lebih rendah dari Malaysia maka (sampai) masa dan ketikanya kita apungkan.

“Kalau benar ada kekurangan kita akan cambahkan stok. Kementerian Pertanian mempunyai 30 peratus stok ayam dan telur. Saya telah beritahu menterinya untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan untuk mengelakkan harga naik,” katanya.

Katanya, perincian langkah itu akan diumumkan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu dalam masa terdekat selepas perbicangan mengenainya selesai dilaksanakan dengan pelbagai pihak.


Pengarang :