Gambar hiasan pelbagai matawang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia paling agresif di Asean tekan kurang bergantung kepada dolar AS

SHAH ALAM, 17 OKT: Malaysia antara negara Asean paling agresif dalam menekankan keperluan mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata langkah penggunaan mata wang ringgit dalam perdagangan yang dilaksanakan Malaysia dengan beberapa negara mendapat sambutan dan menunjukkan perkembangan menggalakkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggunaan ringgit paling berhasil setakat ini adalah dengan China iaitu penyelesaian 25 peratus atau RM39.2 bilion dalam mata wang ringgit dan renminbi daripada keseluruhan jumlah dagangan RM157 bilion.

“Dengan Indonesia jumlah dagangan menggunakan ringgit dan rupiah adalah RM10.7 bilion (16.7 peratus) manakala Thailand RM8.2 bilion (19.6 peratus) dalam ringgit (dan Baht).

“Ini bermakna China yang paling berjaya kerana peningkatan yang agak tinggi. Kalau kita lihat ini ada perkembangan yang menggalakkan walaupun masih jauh kerana belum ada tindakan dari negara-negara lain.

“Vietnam dan Kemboja telah memberi perakuan melalui Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang yang dimeterai dalam perjanjian mesyuarat Asean di Jakarta baru-baru ini,” katanya.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang ingin tahu sambutan negara serantau mengenai pendekatan dedolarisasi (dedollarisation) bagi menggalakkan perdagangan antara negara lain menggunakan mata wang ringgit di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini beliau berkata Malaysia meneruskan perbincangan dengan beberapa negara bagi menggunakan mata wang tempatan untuk berdagang antaranya bagi mengawal kejatuhan ringgit disebabkan faktor luaran khususnya terkait kebergantungan kepada dolar AS.


Pengarang :