Pasukan penyelamat giat mencari mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
AGENDANASIONAL

Laporan penuh tragedi Batang Kali didedah jam 5 petang hari ini

SHAH ALAM, 17 OKT: Laporan penuh tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa tahun lalu akan didedah jam 5 petang ini, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Datuk Khairul Shahril Idris berkata laporan tersebut akan disiarkan menerusi laman sesawang rasmi agensi berkenaan untuk dilihat orang ramai, lapor Utusan Malaysia semalam.

“Kami akan menyiarkan laporan itu kepada orang awam di laman sesawang rasmi Nadma. Laporan itu akan dikeluarkan dalam pukul 5 petang esok (hari ini),” katanya.

Pada 5 Oktober, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyahrahsia laporan penuh insiden tanah runtuh Batang Kali hasil keputusan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, laporan oleh Kementerian Kerja Raya telah diserah kepada Kerajaan Negeri selepas dibentangkan di Kabinet September lalu.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa manakala 61 mangsa terselamat.

Ia merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.


Pengarang :