Sukarelawan Selangor (Serve) bersama kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sertai Sukarelawan Selangor, timba pengalaman bantu mangsa bencana

SHAH ALAM, 18 OKT: Individu berusia 18 tahun ke atas yang berminat dalam aktiviti amal dan kemasyarakatan dipelawa menyertai Sukarelawan Selangor (SERVE).

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohammad Nizam Marjugi berkata pihaknya mencari 50 hingga 100 sukarelawan baharu dari seluruh daerah khusus untuk misi pascabanjir.

“Kita memerlukan sukarelawan sebagai persediaan monsun timur laut. Bencana bila-bila masa boleh berlaku dan fenomena ini mungkin mengakibatkan banjir serta menjejaskan penduduk.

Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue ketika Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi lebih ramai khidmat diperlukan untuk bersama SERVE. Kebanyakan sukarelawan sedia ada tiada kelapangan tidak seperti ketika banjir besar pada 2021, mereka boleh rancang cuti.

“Sekarang jika berlaku banjir kilat mahu cari 50 orang sukarelawan dari satu-satu daerah agak sukar juga. Justeru, kita pelawa sesiapa yang berminat untuk jadi sebahagian kami,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sukarelawan akan memperoleh sijil sebagai tanda penghargaan, namun paling penting menimba pengalaman membantu mangsa bencana.

Sukarelawan membersihkan rumah penduduk ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang : Bantuan Pembersihan Pasca Banjir Johor Darul Takzim di Kampung Jawa Baru Chaah, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Memang kita tidak sediakan elaun tetapi makan minum disediakan termasuk peralatan untuk buat kerja sukarelawan,” katanya.

Pendaftaran SERVE boleh dibuat melalui pautan https://tinyurl.com/ServeSelangor.

Pada 20 September lalu, SERVE digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman keluarga terjejas ribut di lima lokasi sekitar Beranang.

Sukarelawan Selangor membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, pasukan terbabit turut terlibat dalam misi pembersihan sisa pukal akibat banjir sekitar Labis, Johor termasuk membantu mangsa bencana fenomena kepala air di Yan, Kedah.


Pengarang :