Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan susulan serangan zionis di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 13 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

500 rakyat Palestin maut serangan udara Israel ke atas hospital Gaza

GAZA, 18 OKT: Kira-kira 500 rakyat Palestin terbunuh dalam satu letupan di hospital Gaza semalam yang menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin berpunca daripada serangan udara Israel.

Letupan itu adalah insiden paling berdarah di Gaza sejak Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti terhadap wilayah berpenduduk padat sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas merentas sempadan ke selatan Israel pada 7 Oktober.

Ia berlaku pada malam sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat, (AS) Joe Biden ke Israel bagi menunjukkan sokongan kepada rejim Zionis itu dalam peperangan dengan Hamas, kumpulan Islam yang memerintah Semenanjung Gaza, dan untuk mendengar bagaimana Israel merancang meminimumkan korban awam.

Sehingga kini Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas pihak yang bertanggungjawab terhadap letupan itu.

Menteri Kesihatan dalam kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Mai Alkaila, menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Seorang ketua pertahanan awam Gaza berkata 300 orang terbunuh dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan berkata 500 orang terbunuh, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan bertanggungjawab ke atas letupan di hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza City, mencadangkan hospital itu terkena pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan tentera Jihad Islam Palestin di kawasan itu.

“Analisis sistem operasi IDF menunjukkan bahawa sebaris roket telah dilepaskan oleh pengganas di Gaza, berdekatan dengan hospital Al Ahli di Gaza pada masa ia terkena,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Israel.

“Risikan daripada pelbagai sumber yang kami ada di tangan kami menunjukkan Jihad Islam bertanggungjawab atas kegagalan pelancaran roket yang melanda hospital di Gaza,” tambah jurucakap itu.

Daoud Shehab, jurucakap Jihad Islam, memberitahu Reuters: “Ini adalah pembohongan dan rekaan, ia sama sekali tidak betul. Pendudukan cuba menutupi jenayah ngeri dan pembunuhan beramai-ramai yang mereka lakukan terhadap orang awam.”

Di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, pasukan keselamatan Palestin melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling batu dan melaungkan menentang Presiden Mahmoud Abbas ketika kemarahan rakyat memuncak selepas letupan itu.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan Palestin tercetus di beberapa bandar lain di Tebing Barat, yang diperintah oleh Pihak Berkuasa Palestin Abbas, lewat semalam, kata saksi.

– REUTERS


Pengarang :