ADNSELANGOR

ADN pelawa mohon baucar beli-belah Deepavali

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Bukit Tunku, Seri Kembangan dan Kota Damansara mempelawa masyarakat India memohon baucar beli-belah sempena Deepavali pada 12 November.

ADN Kota Damansara Izuan Kasim memaklumkan permohonan boleh dibuat sehingga Ahad ini dan terhad kepada 400 pemohon berpendapatan seisi rumah RM3,000 ke bawah.

“Warga India di Kota Damansara boleh membuat pendaftaran bagi mendapatkan baucar shopping perayaan Deepavali 2023 di pejabat DUN dengan menyertakan dokumen lengkap seperti salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan atau sijil kematian bagi pasangan meninggal dunia.

“Permohonan terhad satu baucar bagi satu keluarga selain pemohon bukan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE),” katanya menerusi Facebook.

Sementara wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata permohonan baucar bernilai RM200 itu boleh dibuat di pejabat DUN di sehingga Isnin depan dengan mengemukakan dokumen lengkap.

Manakala wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei pula memaklumkan pemohon boleh mendaftar di pusat khidmatnya sehingga 31 Oktober ini.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Deepavali, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Nilai baucar juga dinaikkan kepada RM200 berbanding RM100 sebelum ini berikutan kos sara hidup yang menekan rakyat ketika ini.


Pengarang :