EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi (tengah) menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saujana Impian Suminah Kasolang (dua,kiri) sempena majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di sekolah itu pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri sumbang RM10,000 rancak pembangunan sukan memanah

KAJANG, 18 OKT: Kerajaan Negeri menyumbang RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian bagi menambah baik prasarana Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor.

EXCO sukan berkata ia juga bagi mengiktiraf komitmen sekolah yang bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Memanah Selangor membangunkan pusat itu sejak 2018.

“Sumbangan ini bagi menambah baik fasiliti dan kemudahan sedia ada serta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen sekolah dalam menjayakan program pembangunan atlet memanah.

“Kita mengharapkan kerjasama berterusan antara semua pihak bagi memastikan kelangsungan sukan memanah di Selangor, seterusnya mencungkil lebih banyak bakat,” kata Najwan Halimi.

Ditemui selepas merasmikan pusat berkenaan di sini hari ini, beliau menambah memanah antara sukan prospek emas untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Sementara itu, Guru Besar SK Saujana Impian Suminah Kasolang menghargai sumbangan Kerajaan Negeri dan akan terus memberi komitmen tinggi dalam pembangunan sukan berkenaan di Selangor.

“Komitmen daripada Kerajaan Negeri ini menyokong usaha pihak sekolah dalam membentuk kemenjadian murid yang cemerlang khususny dalam sukan memanah,” katanya.

Pada SUKMA 2022, Selangor meraih pingat emas dalam acara memanah compound 50 meter menerusi Muhammad Aliff Aiman Mohd Hasri.


Pengarang :