Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemeriksaan ke atas pusat jagaan kanak-kanak dan tadika di sekitar Klang pada 17 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

MPK kompaun tiga pusat jagaan kanak-kanak beroperasi tanpa lesen

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan kompaun kepada tiga pemilik premis pusat jagaan kanak-kanak yang dipercayai beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Norfiza Mahfiz berkata serbuan ke atas empat premis di Bandar Bukit Raja semalam turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Klang.

“Daripada empat premis diserbu, hanya satu premis didapati memiliki lesen perniagaan dan iklan 2023 daripada MPK manakala tiga lagi beroperasi tanpa lesen.

“Semua premis ini dipercayai ada empat hingga enam pekerja dan rata-rata menjaga 20 hingga 30 kanak-kanak berusia lingkungan sebulan hingga enam tahun,” katanya ketika dihubungi.

MPK mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat kompaun mengikut Undang-undang Kecil (UUK)3 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 dan UUK7 Iklan MPK 2007.

Justeru, Norfiza berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang didapati beroperasi tanpa lesen.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang membuka pusat jagaan atau tadika tanpa lesen demi memastikan keselamatan kanak-kanak dijamin.

“Ibu bapa juga dinasihatkan menyemak terlebih dahulu dengan JKM sama ada sesebuah pusat jagaan mahupun tadika itu memiliki lesen sah atau tidak,” katanya.


Pengarang :