Tangkap layar video Facebook Warga Wilayah menunjukkan seorang kanak-kanak tercampak dari kereta dinaiki di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pada 18 Oktober 2023
AGENDAJENAYAH

Polis kesan pemilik kenderaan sebabkan budak tercampak dari kereta

KOTA BHARU, 18 OKT: Polis Kelantan sedang mengesan pemilik kenderaan berhubung kes kanak-kanak tecampak dari sebuah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat berdekatan Jalan Sultan Yahya Petra pada 5.42 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata insiden berkenaan dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup kemas serta tidak memastikan kanak-kanak berkenaan memakai tali pinggang keledar.

“Kami dalam usaha mengesan kenderaan yang terlibat serta kanak-kanak itu dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi satu minit satu saat di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang tercampak dari sebuah kereta sebelum dilanggar dua kereta.

Kanak-kanak itu cuba bangun untuk berlari sebelum diselamatkan oleh penunggang motosikal yang membawanya ke tepi jalan. Menurut Muhamad Zaki, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang yang melihat kejadian, pemandu kenderaan terlibat dan perakam video tampil membantu siasatan.

Sementara itu mengenai kes bunuh seorang lelaki Rohingya semalam, Muhamad Zaki berkata mangsa ditemukan mati di kebun jagung di Kampung Melor Lama ditikam sebanyak 40 kali termasuk di bahagian dada dan perut.

“Mangsa berusia 44 tahun ditikam rakan senegara yang berusia 32 tahun dalam kejadian 9.30 pagi. Hasil siasatan mendapati motif kejadian disebabkan cemburu kerana dipercayai mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek berusia 29 tahun,” katanya.

Suspek dan isterinya direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :