Pelanggan membeli beras tempatan di Pasar Raya Sri Ternak, Selayang ketika tinjauan Ops JAMIN pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan rancang anjur Kempen Beli Barangan Malaysia Mega

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan berhasrat menganjur Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Mega bagi mencipta anjakan baharu terhadap kempen yang diperkenal sejak 39 tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata program berkenaan dirancang diadakan setiap dua tahun sama seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA).

“KBBM Mega dicadang untuk dilaksanakan pada 2025 memandangkan MAHA akan diadakan pada tahun hadapan.

“Ini membolehkan kementerian melaksanakan dengan lebih besar, teratur dan berimpak tinggi serta memberi ruang strategi pengumpulan dana dan penajaan,” kata Fuziah Salleh.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah menambah kementeriannya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan bagi mempromosi KBBM Mega secara meluas.

Menurutnya, KBBM Mega juga dijangka menghimpunkan semua pemain industri tempatan termasuk fesyen, makanan dan minuman, kraftangan dan sebagainya.

“Tahun ini dan 2024 akan digunakan untuk ‘menjual konsep’ KBBM Mega kepada semua pemain industri supaya lebih ramai yang dapat sertai, selain melakukan perancangan rapi, promosi dalam dan luar negara,” katanya.


Pengarang :