Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengumpul sisa barangan elektrik atau elektronik (e-waste) sempena program pengumpulan e-waste anjuran Jabatan Kesihatan Alam Sekitar MPAJ di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana Ampang pada 29 April 2023. Foto  MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ kumpul lebih 82,026 kg minyak masak terpakai, didik masyarakat jaga alam sekitar

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 OKT: Lebih 82,026 kilogram (kg) minyak masak terpakai dan 11,242 kg sisa barangan elektrik atau elektronik (e-waste) dikumpulkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) setakat September lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan program yang digerakkan sejak Januari lalu antara usaha diambil bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

“Minyak masak terpakai yang dibuang tanpa kawalan boleh menyebabkan pencemaran air dan kerosakan infrastruktur seperti longkang tersumbat.

“Manakala barangan e-waste mengandungi bahan toksik berbahaya seperti merkuri dan plumbum yang boleh mengancam kesihatan serta alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

MPAJ memaklumkan sebanyak 48 pusat pengumpulan minyak masak terpakai disediakan dengan kerjasama komuniti antaranya di Masjid Al Ansar Taman Keramat AU2, Pangsapuri Kenanga Taman Putra Sulaiman, Masjid Ubudiah Taman Tasik Tambahan, Surau Al Hakimin Kampung Dato Mufti dan Masjid As-Sobirin Lembah Keramat AU5.

“Selain itu, MPAJ turut menyediakan dua pusat pengumpulan e-waste iaitu di Menara MPAJ Pandan Indah dan Kompleks Muhibbah Taman Nirwana dalam usaha melestarikan alam sekitar

“Kaunter pengumpulan minyak masak terpakai dan e-waste turut dibuka di lokasi  berbeza pada hujung minggu bagi memudahkan komuniti setempat melupuskan sisa terbabit di kediaman mereka,” maklumnya.

Orang ramai boleh merujuk senarai penuh lokasi pusat pengumpulan minyak masak terpakai menerusi laman sesawang www.mpaj.gov.my selain mengikuti Facebook rasmi MPAJ bagi lokasi terkini pusat pengumpulan minyak masak terpakai dan e-waste yang dibuka pada hujung minggu.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar MPAJ di talian 03-42857007.


Pengarang :