GOMBAK, 18 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanja RM100,000 untuk program menangani kemiskinan haid dengan memberi tuala wanita percuma kepada pelajar kurang berkemampuan.
Ketua tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) berkata lima sekolah telah dipilih menerima seunit mesin layan diri dan bekalan tuala wanita secara percuma selama setahun.
Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan projek rintis fasa pertama itu melibatkan peruntukan RM100,000 daripada RM200,000 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan negeri tahun lalu.
“Matlamat projek untuk membantu pelajar tidak berkemampuan untuk mendapatkan produk penjagaan wanita yang bersih dan selamat digunakan.
“Kita mulakan dengan lima buah sekolah, kalau berjalan dengan baik kita akan memperluaskan kepada sekolah lain sebelum hujung tahun ini mengikut peruntukan RM200,000 yang telah disediakan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Mekar 2023 di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/P-ProjekMekar-11-500x333.jpg.webp)
Projek rintis fasa pertama melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, Gombak; SMK (Perempuan) Bukit Kuda, Klang; SMK Kapar, Klang; SMK Putra Perdana, Sepang dan SMK Kuala Selangor.
Sementara itu, peneraju Projek Mekar Juwairiya Zulkifli berkata program itu dilaksanakan untuk membantu pelajar yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan serta tidak mampu mendapatkan tuala wanita.
“Sasaran bantu golongan yang tercicir dan cadangan saya dilaksanakan di sekolah untuk menjaga keselesaan pelajar dengan sebaiknya supaya mereka lebih berkeyakinan mendapat akses pendidikan yang baik.
“Saya hargai keprihatinan Dato’ Menteri Besar melaksanakan projek ini dan harapan saya diperluaskan tahun hadapan hingga ke seluruh daerah negeri Selangor,” katanya.